MENU

NUSAJAYA 23 Nov. - Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.38 juta bagi menyediakan tambang percuma kepada pesara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mengerjakan ibadah haji sejak tiga tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, seramai 255 pesara terbabit sudah mendapat kemudahan itu menerusi kuota disediakan kerajaan negeri mulai 2008.

Beliau berkata, pada 2008, seramai 89 pesara kerajaan negeri dan enam pesara Persekutuan mendapat kemudahan itu membabitkan perbelanjaan RM448,875, manakala pada 2009 pula seramai 98 pesara kerajaan negeri menerima kemudahan itu dengan melibatkan perbelanjaan RM573,104.

"Pada tahun ini pula, seramai 48 pesara kerajaan negeri dan 14 pesara Persekutuan mendapat kemudahan ini membabitkan perbelanjaan RM362,576.

"Berikutan itu, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan peluang kepada pesara kerajaan negeri mahupun Persekutuan untuk melaksanakan ibadat haji. Jumlah penerima tambang bergantung kepada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Sheikh Ibrahim Salleh (Pas-Sungai Abong)pada Persidangan Dewan Negeri Johor ke-12, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Zainal berkata, antara syarat yang ditetapkan bagi penerima kuota haji berkenaan adalah pesara telah berkhidmat dengan kerajaan negeri tidak kurang daripada 15 tahun dan berjawatan tetap.

Katanya, pemohon mestilah belum pernah ditawarkan tambang haji percuma daripada kerajaan negeri melalui apa juga kuota dan telah membuat pendaftaran haji di Lembaga Tabung Haji (TH).

"Pesara penjawat awam Persekutuan dan negeri boleh memohon tambang dan secara tidak langsung akan mendapat kuota kerajaan negeri yang sedia ada. Dengan kata lain, mereka dapat menunaikan fardu haji lebih awal daripada masa yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday semasa menjawab soalan R.Vidyanathan (BN-Kahang) mengenai status program Rakan Muda berkata, Rakan Muda Fasa II telah melaksanakan pelbagai program di sekitar negeri ini sejak transformasi terhadap program itu dilaksanakan pada 2007.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk Program Rakan Muda Wawasan Desa, Pembangunan Aktiviti Lapan Gaya Hidup Rakan Muda, Rakan Muda Sekolah dan Rakan Muda Pengsektoran membabitkan kawasan kemajuan tanah Felcra dan Felda serta kawasan industri.

"Kesemua program tersebut dapat dimanfaatkan golongan belia dan komuniti setempat ke arah menjana perpaduan, disiplin, akhlak dan kemahiran.

"Malah, Kelab Rakan Muda Parlimen dan Pusat Siber Rakan Muda juga ditubuhkan di semua 26 kawasan Parlimen negeri, selain pelaksanaan program Reach Rakan Muda melalui Unit Bergerak Go Mobile Rakan Muda dan Pembangunan Sukarelawan Rakan Muda," katanya

Sumber : Utusan