MENU

JOHOR BAHRU 29 Ogos - SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) menyediakan perkhidmatan kutipan sampah pukal secara percuma di beberapa lokasi khusus menjelang sambutan Aidilfitri bermula Rabu ini sehingga 9 September depan.

Pengurus SWM negeri, Lim Cheng Seng berkata, antara kawasan terlibat ialah di bawah seliaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT).

Beliau berkata, perkhidmatan yang disediakan itu merupakan usaha SWM memberi kemudahan kepada orang ramai yang ingin melupuskan perabot serta perkakasan lama yang sudah tidak digunakan lagi.

"Setiap kali musim perayaan, orang ramai sibuk mengemas rumah dan membeli pelbagai barangan baru dan pastinya barangan lama tidak ingin digunakan akan dilupuskan.

"Ia merupakan sebahagian strategi operasi kami dalam memastikan masyarakat dapat meraikan Aidilfitri ini dalam suasana selesa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Cheng Seng berkata, pada tahun lalu sebanyak 42.2 tan metrik sampah berjaya dikutip sepanjang 17 hari perlaksanaannya dan bahan yang paling banyak dilupuskan adalah perabot.

Beliau berkata, program yang dilaksanakan itu juga merupakan sebahagian tanggung jawab sosial syarikat kepada masyarakat dan ia merupakan program tahunan SWM.

Justeru, orang ramai diharap dapat memberi kerjasama dengan mengumpulkan barangan lama seperti tilam, bantal, almari, televisyen dan perabot di luar rumah iaitu di bahu jalan bagi memudahkan urusan pemunggahan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan tersebut boleh menghubungi SWM di talian 07-3866000, 07-3349222 atau hotline 1-800-222-800.