MENU

JOHOR BAHRU 26 Feb. - Tunku Idris Iskandar, 22, anakanda ketiga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dilantik sebagai Tunku Temenggong Johor hari ini.

"Pada fikiran saya, adalah molek untuk saya berlatih dan jadikan anakanda saya, Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor," titah Sultan Ibrahim.

Pelantikan itu diumumkan oleh Sultan Ibrahim semasa merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar di sini.

Turut berangkat isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan kerabat diraja yang lain.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Datin Dr. Jamilah Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof, barisan Exco kerajaan negeri dan para pegawai kerajaan.

Tunku Idris merupakan anak ketiga daripada enam beradik.

Tunku Idris juga pernah mengikuti kursus penerbangan di Akademi Penerbangan Integrasi (IAC) di Perak.