MENU

Sumber : Berita Harian Online

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
2011/09/30

 

 
Saliza (tengah), Maimoon (tiga dari kiri), penceramah dan penaja pada sidang media 'BGCH Stop Violence Againts Women 2011 Seminar' di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Seminar bantu perkasakan wanita

WANITA sering dianggap individu yang lemah dan berhadapan dengan pelbagai ancaman dari aspek fizikal dan mental, selain terdedah kepada mangsa keganasan. Sama ada disedari atau tidak, keganasan terhadap wanita sentiasa berlaku termasuk dalam lingkungan kerja dan di mana-mana juga lokasinya.

Keganasan itu tidak saja berbentuk sepak terajang, dipukul, tampar atau apa saja perbuatan yang mendatangkan kecederaan, sebaliknya jenaka menerusi perkataan atau tingkah laku berbaur elemen lucah juga boleh dikategorikan dalam maksud berkenaan.

 

Ia bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai kod amalan terhadap perlindungan dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja. - Saliza Abdullah, Pengarah Eksekutif BG

 

Menyedari pelbagai bentuk keganasan melingkari kehidupan wanita ia memberi idea kepada Berani Guard Sdn Bhd (BG) menganjurkan seminar Gangguan Seksual dan Produktiviti: Tanggungjawab Anda Sebagai Individu, Organisasi dan Komuniti, pada November depan.

Pengarah Eksekutif BG, Saliza Abdullah, berkata seminar yang julung kali diadakan ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu keganasan terhadap wanita boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan keadaan tanpa disedari sehingga menjejaskan keselamatan mereka.

Katanya, seminar ini juga diadakan untuk memperkasakan individu khususnya wanita selain menyokong pentadbir dan organisasi mewujudkan persekitaran kediaman dan tempat kerja yang selamat dan kondusif.

"Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan kesedaran isu gangguan seksual terhadap individu, organisasi dan komuniti di Malaysia serta memberi kefahaman mengenai kod amalan terhadap perlindungan dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja serta kod panel jenayah berkaitan di Malaysia," katanya.

Hadir sama, Pengarah Kumpulan Eksekutif BG, Maimoon Mat Akil.

Beliau berkata, BG turut mengundang organisasi berkaitan sebagai panel pembentang untuk mengisi jadual seminar yang disusun sepanjang hari dengan pelbagai acara menarik.

Antara panel yang membentangkan kertas kerja dalam seminar itu meliputi wakil dari Jabatan Pembangunan Wanita, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja Johor, Avon Malaysia, City-Link Express (M) Sdn BHd, AirAsia X Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad, VTG Sdn Bhd, Persatuan Seni Silat Setiabakti dan Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM)," katanya.

Seminar sehari yang akan berlangsung, 21 November ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan kumpulan sasar lelaki dan wanita, pihak pentadbir syarikat seperti eksekutif, pengarah, pengurus, pekerja, pihak bukan berkepentingan dan pembuat polisi.

"Seminar bermula pada jam 8 pagi hingga enam petang. Peserta akan diberikan sijil penyertaan selepas tamat seminar.

"Yuran penyertaan adalah RM500 seorang. Bagi mereka yang mendaftar sebelum sebelum 31 Oktober, bayar hanya RM400, selain potongan diskaun untuk pendaftaran secara berkumpulan," katanya.

Bayaran boleh dibuat dalam bentuk cek atau draf bank, bayar kepada Berani Guard Sdn Bhd, Wisma Mazmoon, No 14, Jalan SS 19/1D, 46500 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan. Sebarang pertanyaan hubungi Noraisyah Abdan di talian 03-56350030 sambungan 202 atau emel: svaw@bgcapital.com.my.