MENU

Majlis Tempatan Lima Kedai

Sebelum meletus perang dunia ke-2, seorang lelaki berbangsa Inggeris telah membina sebuah rumah kediaman di atas bukit di tapak kuari. Beliau juga bertanggungjawab membina 5 unit kedai di tepi sungai berhampiran sebuah jambatan. Kelima-lima unit kedai ini telah disewakan kepada 4 penduduk berbangsa Cina dan seorang Benggali. Mereka telah menjalankan perniagaan menjual barangan runcit, kedai kopi dan kedai gunting.

Walaubagaimanapun, semasa darurat pada tahun 1948, 5 unit kedai ini dan penduduk-penduduk di persekitarannya telah diperintahkan berpindah ke Ladang Getah Hiap Seng yang kini dikenali sebagai Kampung Baru Lima Kedai.

Pada peringkat awal terdapat 42 unit rumah papan dan lot-lot tapak rumah ini telah dikurniakan oleh Kerajaan Negeri dengan bantuan Pegawai Penempatan Semula. Sebuah balai polis juga telah dibina.

Majlis Tempatan Lima Kedai telah ditubuhkan pada 1 Ogos 1954 dengan menyewa sebuah rumah sebagai pejabat. Pada 31 Mei 1959, satu pilihanraya Majlis-Majlis Bandaran dan Tempatan telah diadakan dan seorang Pengerusi telah dilantik. Kerajaan juga telah mencadangkan supaya pilihanraya diadakan setiap 3 tahun. Oleh itu pada tahun 1962, satu lagi pilihanraya telah diadakan.