MENU

KUALA LUMPUR 4 Okt. — Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua hari ini akan memberi perlindungan lebih komprehensif kepada mangsa keganasan rumah tangga khususnya wanita dan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pindaan tersebut bertujuan melindungi mangsa, tidak terhad kepada penderaan fizikal sahaja bahkan merangkumi aspek penderaan emosi, mental dan psikologi.

"Pindaan ini akan membenarkan pihak mahkamah untuk mengeluarkan perintah bagi menghalang pihak ketiga daripada melakukan keganasan terhadap mangsa.

"Selain itu, pindaan kepada akta ini juga memudahkan urusan mendapatkan Perintah Perlindungan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, perintah perlindungan dapat difailkan di mana-mana mahkamah tanpa mengira bidang kuasa dan wilayah mahkamah selain permohonan juga boleh difailkan dengan mana-mana pegawai mahkamah dan tidak tertakluk kepada Pendaftar Mahkamah sahaja. — Bernama

 

Sumber Utusan Online
04/10/2011 9:41pm