MENU

JOHOR BAHRU 30 Mac - Gerakan Belia 4B Johor menyasarkan untuk melibatkan diri dalam program berkaitan pelajar dan penuntut universiti dengan lebih meluas pada masa akan datang.

Pengerusinya, Syahrin Md. Jamaludin berkata, menerusi pendekatan itu, pihaknya mampu merapatkan lagi hubungan dengan generasi muda.

Beliau berkata, sebagai permulaan mencapai hasrat itu, pihaknya bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menerusi Program Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

"Ini kali pertama Gerakan Belia 4B Johor bekerjasama dalam program besar yang melibatkan pelajar dan penuntut universiti.
"Kita berharap untuk terus bekerjasama dengan mana-mana pihak atau menganjurkan sendiri program yang melibatkan golongan tersebut dengan lebih kerap pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Opkim di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, di sini baru-baru ini.

Seramai 206 pelajar sekolah berkenaan menyertai program selama tiga hari itu. Program tahunan tersebut anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Pergigian UiTM Shah Alam yang dijalankan serentak di 26 daerah di negeri ini.Selain Gerakan Belia 4B Johor, program itu turut mendapat kerjasama daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Seorang peserta, Allyssa Lee a/k Nyaring, 17, berkata, meskipun tempoh program tersebut singkat, namun, pelbagai manfaat dan pengajaran diperoleh oleh para peserta.

"Selain diberi motivasi untuk mengekalkan kecemerlangan dalam pembelajaran, peserta juga didedahkan tentang perancangan selepas tamat persekolahan.

"Kami amat beruntung kerana mendapat pendedahan meluas tentang kehidupan di universiti dan kerjaya pada masa depan," katanya.

Bagi Haikal Razali, 17, program itu amat baik terutamanya kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program itu katanya, dapat menyuntik semangat para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh supaya mendapat keputusan cemerlang dan melanjutkan pengajian ke menara gading.

sumber : Utusan